Lawatan Ke Stadium Merdeka & Menara Merdeka 118
Kuala Lumpur, 5 Disember 2025 – Sempena Jelajah Musketeers di Kejohanan Bola Sepak Akar Umbi PFAM, Musketeers Football Academy telah mengambil kesempatan menganjurkan lawatan sambil belajar ke Stadium Merdeka, sebuah lokasi ikonik yang sarat dengan nilai sejarah negara dan bola sepak Malaysia.
Lawatan ini bertujuan memberi pengalaman pembelajaran bermakna kepada para pelatih dengan memperkenalkan mereka kepada sejarah dan peristiwa bersejarah yang pernah berlangsung di Stadium Merdeka, termasuk detik kemerdekaan negara, Pesta Bola Merdeka, serta pelbagai peristiwa penting yang membentuk landskap sukan dan identiti nasional.
Para pelatih kelihatan teruja dan terinspirasi apabila sesi perkongsian sejarah disampaikan oleh Syam, pengasas Muzium Bola Sepak Malaysia, yang berkongsi kisah-kisah bermakna mengenai legasi stadium ini serta sumbangan tokoh-tokoh bola sepak tanah air.
Inisiatif ini selari dengan falsafah “More Than Football” yang menjadi teras perjuangan Musketeers, di mana pembangunan pelatih tidak hanya tertumpu kepada latihan di atas padang, tetapi turut merangkumi keilmuan, jati diri dan penghargaan terhadap sejarah.
Melalui pendedahan sebegini, Musketeers berharap dapat melahirkan pelatih yang bukan sahaja berprestasi dalam sukan, malah memahami nilai perjuangan, identiti dan warisan yang membentuk bola sepak Malaysia.