Kota Kinabalu, 8 Oktober 2025 – Musketeers Football Academy (MFA) telah mengadakan satu pertemuan dan perbincangan awal bagi meneroka potensi jalinan kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS), sebagai langkah memperkukuh ekosistem pembangunan bola sepak berteraskan ilmu, penyelidikan dan komuniti.
Perbincangan ini memberi tumpuan kepada beberapa bidang utama, termasuk pembangunan modul latihan dan pengurusan bola sepak, pembinaan modul pembangunan insan, serta penerokaan aplikasi teknologi dalam sukan. Kerjasama ini dilihat sebagai platform penting untuk mengintegrasikan kepakaran akademik dengan amalan lapangan, selari dengan keperluan pembangunan bola sepak moden.
Hasil perbincangan awal tersebut, beberapa perkara telah disepakati secara prinsip, dan pihak akademi kini sedang mengorak langkah ke fasa seterusnya dalam membentuk kerjasama strategik yang lebih tersusun. Antara cadangan yang dibincangkan termasuk penyediaan geran penyelidikan kepada para pensyarah UMS bagi menyokong kajian dan inovasi berkaitan pembangunan bola sepak dan sukan akar umbi.
Insya-Allah, seramai enam (6) hingga lapan (8) orang pensyarah dijangka akan terlibat dalam projek dan jalinan kerjasama ini, merangkumi pelbagai bidang kepakaran yang relevan dengan pembangunan sukan, pendidikan dan teknologi.
Platform dan kesepakatan awal ini telah membuka ruang yang amat positif dalam usaha Musketeers Football Academy membina sebuah ekosistem bola sepak yang mampan, berteraskan visi dan matlamat 5K iaitu Kesukanan, Keilmuan, Kerjaya, Kekeluargaan dan Komuniti. Kerjasama ini diyakini mampu memberi impak jangka panjang bukan sahaja kepada akademi, malah kepada komuniti dan landskap bola sepak di Sabah secara keseluruhan.
