MusketeersFA

BENGKEL INDUSTRI SUKAN BATCH 1 – INSKEN

Kuala Lumpur, 15 Ogos 2025Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) telah menganjurkan Bengkel Industri Sukan Batch 1, sebuah inisiatif keusahawanan yang julung kali diadakan khusus untuk industri sukan di Malaysia. Bengkel ini bertujuan memperkasa penggiat sukan dengan pengetahuan dan kemahiran dalam membangun, mengurus dan menskalakan akademi, kelab serta syarikat sukan secara mampan (sustainable).

Sepanjang bengkel, peserta didedahkan kepada pelbagai pengisian penting merangkumi asas keusahawanan, tadbir urus organisasi, serta pengurusan dan kawal selia pentadbiran serta kewangan bagi akademi, kelab dan syarikat berteraskan Social Enterprise. Pendekatan praktikal ini memberi gambaran menyeluruh tentang bagaimana entiti sukan boleh berkembang secara profesional dan berdaya saing.

Bengkel ini dihadiri oleh 30 orang peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk atlet profesional, pensyarah, pemilik dan pengasas kelab, serta pihak penaja. Turut hadir ialah Safee Sali, pemain bola sepak profesional Malaysia, yang menambah nilai perkongsian melalui perspektif industri dan pengalaman lapangan.

Sebagai sebahagian daripada pengisian, peserta turut mengikuti lawatan industri ke Discovery Muay Thai di Jalan Alor. Sesi ini memberi peluang kepada peserta meneliti secara dekat pendekatan pengurusan, strategi organisasi dan model operasi sebuah entiti sukan yang telah terbukti berjaya dan berpengalaman.

Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Viviantie Sarjuni, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, yang menekankan kepentingan keusahawanan sukan berimpak dalam membina ekosistem industri sukan negara yang lebih kukuh.

Musketeers Football Academy turut berbesar hati terlibat dalam kohort ambilan pertama bengkel ini, sekali gus membuka peluang untuk menerima bimbingan langsung melalui Program Bimbingan INSKEN selama tiga (3) bulan, yang butirannya akan dimaklumkan kelak. Penglibatan ini selari dengan komitmen Musketeers untuk memperkukuh tadbir urus, kelestarian kewangan dan pertumbuhan strategik akademi.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *