MusketeersFA

SELF-MYOFASCIAL RELEASE (SMR): ROLL • RELEASE • RECOVER

Program Pemulihan Pintar Berteras Sains Sukan oleh UMS Sabah

Sandakan, 10 Januari 2026 – Program Self-Myofascial Release (SMR): ROLL • RELEASE • RECOVER telah berjaya dianjurkan menerusi kolaborasi strategik antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Musketeers Football Academy, sempena Program Profiling Atlet UMS X Musketeers Football Academy.

Program berteras sains sukan dan pemulihan fizikal ini memfokuskan kepada kaedah Self-Myofascial Release (SMR), satu pendekatan urutan kendiri menggunakan bola kecil yang membantu atlet dan individu aktif mempercepatkan pemulihan otot, meningkatkan mobiliti serta menyokong prestasi fizikal yang lebih optimum.

Menariknya, program ini merupakan inisiatif seumpamanya yang pertama kali dianjurkan di Sandakan, sekali gus menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada atlet, jurulatih dan komuniti sukan setempat.

Sesi yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Kompleks Sukan Sandakan telah dikendalikan oleh Zuliana Bacho, Pensyarah Sains Sukan dan Pemulihan Fizikal UMS, yang berkongsi ilmu, demonstrasi praktikal serta panduan keselamatan dalam pelaksanaan teknik SMR.

Maklum balas peserta amat positif, dengan ramai menyatakan program ini sangat praktikal, mudah diaplikasikan dan berkesan dalam rutin latihan serta pemulihan harian. Para peserta turut menyuarakan hasrat agar program ini diteruskan dan dijadikan acara tahunan, sebagai usaha berterusan memperkasa pengetahuan sains sukan di peringkat akar umbi.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Musketeers Football Academy dan Universiti Malaysia Sabah dalam memperkukuh integrasi sukan, sains, pendidikan dan komuniti, selari dengan falsafah “More Than Football”.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *