Performance Evaluation & Athlete Knowledge
Sandakan, 11 Januari 2026 – Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Musketeers Football Academy telah berjaya melaksanakan Program SULAM-PEAK: Performance Evaluation & Athlete Knowledge selama dua (2) hari, bermula 10 hingga 11 Januari 2026, bertempat di Kompleks Sukan Sandakan.
Program ini melibatkan penyertaan 30 orang atlet bola sepak Musketeers, 5 orang jurulatih, serta 48 orang mahasiswa UMS, dan memberi fokus kepada penilaian prestasi atlet berasaskan sains sukan sebagai asas pembangunan prestasi yang lebih sistematik dan berimpak.
Antara komponen penilaian yang dilaksanakan merangkumi komposisi badan, kelajuan, ketangkasan, keseimbangan dan daya tahan, yang berperanan penting dalam membantu jurulatih dan atlet memahami tahap fizikal semasa, mengenal pasti potensi serta merancang latihan yang lebih bersasar dan berasaskan data.
Program ini turut memberi pendedahan kepada para atlet dan jurulatih mengenai bagaimana aplikasi sains sukan mampu meningkatkan potensi, prestasi dan ketahanan atlet, di samping mengurangkan risiko kecederaan melalui pendekatan latihan yang lebih tepat dan berinformasi.
Musketeers Football Academy merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Universiti Malaysia Sabah serta para mahasiswa UMS yang telah menjadikan Musketeers sebagai rakan pelaksanaan program, sekali gus menyumbang kepakaran, tenaga dan ilmu dalam menjayakan inisiatif ini.
Pelaksanaan Program SULAM-PEAK ini membuktikan bahawa kerjasama antara institusi pengajian tinggi dan akademi sukan mampu mewujudkan satu ekosistem pembangunan atlet yang holistik, selari dengan falsafah “More Than Football” dan komitmen Musketeers dalam membangunkan bola sepak akar umbi secara berasaskan ilmu dan data.