29 Januari 2026 | Kota Kinabalu
Musketeers Football Academy telah mengadakan kunjungan hormat ke Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) sebagai langkah memperkukuh hubungan strategik serta membentangkan inisiatif pembangunan bola sepak akar umbi di negeri Sabah.
Delegasi Musketeers diketuai oleh Hardy Pudar, Presiden Musketeers Football Academy dan turut dihadiri oleh Hj Rusli Hassan (Penasihat Jurulatih), Coach Arif Tumin (Ketua Jurulatih), serta barisan jurulatih akademi termasuk Coach Dasri Paddu dan Coach Mohd Nor Among.
Kunjungan ini telah disambut oleh wakil kepimpinan SAFA yang diketuai oleh Tuan Shamsuddin bin Mohd Shah (Setiausaha Agung), bersama Datuk Razak Sulaiman (Ahli Majlis Tertinggi), David Wisdom (Setiausaha Eksekutif) serta En Ronny Asmadul (Pembangunan Akar Umbi).
Dalam pertemuan ini, pihak Musketeers telah memaklumkan pembangunan satu aplikasi latihan bola sepak bersepadu dikenali sebagai Tamubola, iaitu sebuah platform yang diintegrasikan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan sistem pengurusan pintar bagi menyokong ekosistem pembangunan bola sepak moden.
Tamubola merangkumi sistem latihan berstruktur, pendataan dan pendaftaran pemain, pembinaan profil individu, pemantauan prestasi, serta pengurusan kelab dan akademi secara menyeluruh. Aplikasi ini disasarkan untuk menjadi platform sokongan utama dalam program pembangunan akar umbi di peringkat komuniti dan akademi.
Sehubungan itu, Musketeers memohon sokongan pihak SAFA dari segi pengiktirafan, khidmat nasihat profesional serta peluang pelaksanaan projek perintis (pilot project) dalam fasa pembangunan awal.
Sebagai simbol sokongan terhadap usaha pembangunan ini, pihak SAFA turut menaja satu set jersi lengkap (baju, seluar dan stoking) berjumlah 22 helai serta 10 biji bola latihan kepada Musketeers Football Academy.
Musketeers merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak SAFA atas sokongan dan komitmen yang diberikan, serta berharap kerjasama ini dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak Sabah yang lebih tersusun, moden dan berdaya saing.